KUALA LUMPUR, 19 APRIL 2010 : Sebelum ini ada segelintir pihak yang telah membuat spekulasi bahawa konsert Double Trouble 2010 yang bakal dijayakan Wings dan Search akan dibatalkan atas sebab pertembungan tarikh dengan konsert Ungu pada 1 Mei nanti.
Hakikatnya, perkara itu sama sekali tidak benar. Sebaliknya, konsert Double Trouble 2010 yang dianjurkan Adept Net Sdn Bhd itu akan tetap diteruskan sepertimana yang dirancang sempena Hari Pekerja itu nanti.
Kini, timbul pula cerita bahawa penganjuran konsert Ungu yang dijadual berlangsung pada hari yang sama akan dibatalkan. Sebab-sebabnya tidak diketahui tetapi ada sumber memberitahu bahawa penganjurnya sudah mula berasa gentar apabila Ungu terpaksa berhadapan dengan dua band rock gergasi kita itu nanti.
Sungguhpun begitu, ia juga satu berita yang tidak berasas. Perkara ini telah disahkan oleh orang kuat syarikat rakaman Suria Records Sdn. Bhd (SRC) yang dinaungi Ungu di negara ini.
Pengurus AR (Artis & Repertoire) SRC, Zulkefli Majid atau Zul ketika dihubungi berkata,konsert itu tetap akan diteruskan seperti yang dirancang.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya spekulasi ini. Ia tetap diteruskan walaupun kami tahu berlaku pertindihan tarikh dengan konsert Double Trouble. Bagi kami artis yang terlibat pada kedua-dua konsert ini mempunyai genre yang berbeza.
"Ungu juga mempunyai peminatnya sendiri di Malaysia. Selain anak-anak muda, Ungu mempunyai fan base yang cukup besar di kalangan pekerja Indonesia yang bekerja di Malaysia. Tanggal 1 Mei sengaja dipilih memandangkan cuti umum hari pekerja yang jatuh pada hari tersebut," katanya.
Ungu menerusi konsert yang diberi nama Mega Concert Ungu Malaysia 2010 akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, jam 8 malam. Manakala Konsert Double Trouble 2010 bertempat di Arena Tertutup, Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur pada masa yang sama.
Dianggotai lima anak muda iaitu Pasha (vokalis), Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (Bass) dan Rowman (drum), Ungu merupakan artis di bawah label Trinity Optima Production, manakala Suria Records Sdn. Bhd pula merupakan syarikat rakaman rasmi mereka yang banyak membantu urusan promosi dan pengedaran album Ungu di negara ini.
Sebelum ini, Ungu pernah bertandang mengadakan persembahan di negara ini. Antaranya di Planet Hollywood, Kuala Lumpur pada 25 Jun 2006 dan di Life Center, Kuala Lumpur pada 9 Ogos 2007.
Bagaimanapun, Mega Concert Ungu 2010 anjuran Celebes Production ini pasti akan jadi lebih bermakna apabila buat julung kalinya Ungu akan beraksi dalam sebuah konsert berskala besar.
Ungu akan tampil dengan 18 buah lagu. Lagu-lagu hit yang dijangka akan dinyanyikan oleh Ungu pada malam itu termasuklah Demi Waktu, Melayang Cinta Dalam Hati, Kekasih Gelapku, Untuk Mu Selamanya, Andai Ku Tahu, Dilema Cinta dan Hampa Hati Ku.
Tiket-tiket dijual pada harga RM50 (Tribune 3), RM80 (Tribune 2 dan Festival), RM100 (Tribune 1) dan RM200 (VIP).
Bagi yang berminat menyaksikan konsert tersebut, sila layari laman web www.tiketpro.com.my untuk maklumat dan keterangan lanjut
(SumberMurai.com)



.jpg)

0 comments:
Post a Comment